Best Blogger Tips

Saturday 19 November 2011

Apabila Kemarahan jadi Penggerak

Ketika saya sedang duduk seorang diri menikmati sarapan pagi di sebuah restoran mamak, saya dapati meja di sebelah saya penuh dengan sekawan sahabat yang begitu asyik berborak dengan nada suara yang tinggi. Butir bicara mereka begitu jelas, saya seperti mendengar radio dengan frequency modulation (FM), nyaring dan menggetarkan. Topik bicara mereka berlegar mengenai isu-isu semasa dan setiap seorang melontarkan pendapat, meluahkan apa yang terbuku di dada.

Sambil mengunyah roti telur, mereka kelihatan begitu tegang dan lebih panas dengan sumber-sumber yang dikongsikan sesama mereka. Kemarahan mengambil ruang dalam bicara pedas mereka, kebencian kedengaran seperti letusan bom berangkai daripada setiap mereka bergilir-gilir.

Dalam gempita itu saya termenung dan cuba mencari jawapan tentang nasib umat ini, ketika begitu banyak isu-isu panas, namun dimanakah penyelesaiannya?


Cuba kita terjun dan menyelongkar ke dalam laci sirah Rasulullah kerana baginda adalah contoh pejuang tulen. Dengan semangat juang tinggi baginda berjaya mengubah dunia, tetapi semangat juangnya itu terbina di atas asas kukuh apabila tapaknya adalah persoalan iman, sendi-sendinya adalah syarak dan buahnya adalah akhlak.

Sesebuah perjuangan yang bergantung kepada kemarahan dan kebencian akan menjadikan kita bersemangat tetapi tidak menjadikan kita semakin kukuh.
Ia seperti api yang bergantung kepada kayu api yang kering (objek yang sangat lemah) untuk dia hidup. Apabila kayu api tiada (atau basah), tiada tempat lagi buat api untuk menyala dan membakar. Ini termasuk api yang bergantung kepada minyak, kerana minyak bersumberkan fosil hasil reputan jutaan tahun, alangkah lemahnya tempat pergantungan api!

Tanpa sumber reput api perjuangan jadi luntur yang tinggal hanya asap putih berkepul-kepul lalu sirna.

Generasi yang Lemah
Perjuagan yang hanya membakar emosi kelihatan hebat, sama seperti kepanasan api yang membakar. Masyarakat boleh dikumpulkan dengan masing-masing menyeringai kemarahan dan menyemai kebencian, tetapi di mana dan apakah kesudahannya?

Apabila akal dan rohani tidak dibangunkan, sedangkan manusia terus berjuang, maka apakah pendorong'di dalam' bagi perjuangan mereka?

Persoalan dan isu semasa menjadikan manusia manusia semakin kasar. Berapi-api di luar tetapi beku di dalam!

Semangat berjuang berada di puncak awan tetapi akal, emosi dan rohani berada di dasar tasik yang kotang, kering dan gersang!

Kita mungkin juara untuk jangka pendek kerana memenangi hati-hati manusia tetapi sebenarnya tewas untuk jangka panjang. Ini adalah kerana apabila manusia dibina kebenciannya, sifat itu akan tumbuh dengan subur sehingga sampai ke tahap ketagih kepada perkara negatif (negaholic). Setelah ini berlaku, ia akan membakar rentung semua perkara positif yang sepatutnya: Soal iman yang merupakan perkara paling asas tidak dibicarakan, pendidikan serta tarbiah hati jauh sekali, menegakkan syariat hanya jadi mainan ucapan dan mencontohi akhlak Rasulullah jauh panggang dari api!

Natijahnya, kita sedang mempersiap sebuah generasi yang sangat lemah. Inilah yang sedang dideritai oleh umat Islam di segenap penjuru alam, kita terlepas pandang kaedah Rasulullah di dalam keghairahan kita memperjuangkan agama yang dibawa oleh Rasulullah.

Apabila kemarahan dan letusan emosi semata-mata menjadi penggerak, hakikatnya kita sedang memperbodohkan umat serta membutakan akal mereka. 
Dalam keadaan buta inilah musuh mengambil kesempatan kerana tiada lagi umat ini yang celik. Tiada yang membawa fikiran bernas buat diikuti oleh umat sebagai jalan keluar 'makhrajan'. Dalam gelap-gelita inilah kita terus diruntun ke lorong berasingan dan kita tidak nampak apa yang dilakukan kepada saudara-saudara kita yang lain lalu kita menghayun penumbuk, meracik dengan parang, melibas dengan pedang kepada sesiapa sahaja dan akhirnya yang terkena semua itu adalah saudara kita sendiri. Akhirnya kita senasib umat Musa yang berpukulan sesama sendiri sehingga percikan darah serta kematian menghentikan mereka !
Hayati Sifat Rasulullah
Mari dengan jujur kita hayati sifat Rasulullah melalui firman-Nya:"Dan daripada rahmat Allah ke atasmu adalah engkau bersifat lemah lembut kepada mereka, sekiranya engkau bersikap keras kepada mereka akan lari dari sisimu, berilah mereka kemaafan buat mereka dan bermesyuaratlah bersama mereka dan apabila engkau telah berazam maka berserahlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah kasih kepada mereka yang bertawakal." (Ali Imran: 129)

Lihatlah akan doa Rasulullah saat kakinya luka, darah merah mengalir sehingga bertakung di dalam kasut baginda akibat kekejaman orang Taif:

"Ya Allah, sesungguhnya aku mengadu kepada-Mu kelemahan dan terbatasnya usahaku wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Engkaulah Tuhan bagi golongan tertindas dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah akanku menyerah? Adakah kepada mereka di sini (Taif) yang akan membinasakan aku? Ataukah kepada musuh (Quraisy) yang ingin menguasaiku. Sekiranya Engkau tidak murka tidaklah aku mempedulikannya kerana keampunan-Mu maha luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya Wajah-Mu yang menghapus segala kegelapan dan mengelokkan atasnya urusan dunia dan akhirat daripada turun kepadaku kemurkaan dsn kebencian-Mu...Ya Allah berilah mereka hidayah kerana mereka tidak mengetahui." ( Daripada Abdullah bin Jaafar yang diriwayatkan oleh at-Tabrani)

Perhatikan pula betapa halusnya tarbiah Rasulullah kepada para sahabat sebagai panduan dalam mengawal diri ketika menyelesaikan masalah.

Daripada Ibnu Mas'ud r.a.: "Aku melihat Nabi SAW bercerita tentang seorang nabi di kalangan nabi-nabi. Dia dipukul oleh kaumnya sehingga mengalir darah. Dia mengesat darah yang mengalir di wajahnya seraya berdoa:"Ya Allah ampunkanlah kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui."(Riwayat al-Bukhari)

Apabila dikatakan kepada Rasulullah; Doakanlah(kehancuran) ke atas kaum Musyrikin, Rasulullah bersabda:"Sesungguhnya aku tidak diutus sebagai pelaknat sebaliknya aku diutuskan sebagai rahmat." (Riwayat al-Bukhari)

Lihat pula bagaimana Rasulullah mendidik para sahabat dengan adab dan akhlak dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.

Abu Hurairah r.a berkata:" Seorang Arab Badwi telah buang air kecil di dalam Masjid Nabi, maka bangkitlah para sahabat lain untuk memukul lelaki ini, Rasulullah segera datang kepada mereka dan bersabda:"Lepaskanlah lelaki ini dan ambil sebekas air atau kendi." Rasulullah bersabda lagi""Sesungguhnya kalian diutuskan untunk memudahkan urusan dan tidak diutuskan untuk menyukarkan urusan."

Rasulullah berjaya mengasingkan kemarahan daripada agenda perjuangannya dan memasukkan sebanyak mungkin kebaikan dengan pembinaan akal, emosi dan rohani yang jernih. Hasilnya adalah penyelesaian yang dapat diguna pakai sepanjang zaman. Kini terserah kepada kita untuk menerimanya atau tidak.

Saya tersedar diri masih terperangkap di antara siratan sirah dan kaedah Rasulullah, serta sekawan sahabat tadi masih lagi mengunyah makanan dan belum reda menguji kemarahan.

"Mamak!kira... ."

Saya mengelui mamak untuk membuat bayaran. Saya berlalu pergi meninggalkan episod sebenar nasib umat ini yang masih tergantung.

Fikir-fikirkan...salam kasih sayang.


*Written by Zul Ramli Mohamed Razali in Anis




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...